Warga Mas daripada kawasan Parlimen Temerloh telah menerima surat daripada pihak Pejabat Daerah Temerloh untuk menghadiri diri di Dewan Mentakab pada jam 1.00 petang (25/2/2010) untuk menerima sumbangan Tahun Baru Cina dan Deepavali. Tidak ada agenda diberikan. Gambaran yang diberikan adalah datang Dewan, ambil sumbangan & pulang cepat.
Pada hari panas, kesesakan jalan berlaku dikawasan sekitar Dewan Sri Mentakab sejak lebih kurang 12.30 apabila Warga Mas Temerloh pergi untuk mendapat sumbangan kerajaan ini. Ada yang boleh pergi sendiri. Kebanyakkan terpaksa dibawa pada hari kerja ini oleh saudara dan kawan. Ada juga yang datang memakai kerusi roda.
Apabila sampai, mereka diminta mendaftar diri - di mana mereka tidak dibenarkan meletakkan tanda tangan, tetapi diminta meletakkan cap jari. Mengapa? Tidakkah tanda tangan memadai? Mengapa mereka didiskriminasi? Adakah kerana mereka tua?
Hanya lebih kurang pukul 3.00 petang (lebih kurang 2 jam selepas masa mereka disuruh hadhir) muncul YB-YB (dan YAB-YAB). Siapa yang hadhir saya tidak pasti. Saya percaya yang hadhir mungkin ADUN BN kawasan Mentakab, ADUN Kawasan Lancang dan mungkin MP Temerloh.
Ucapan diberikan, dan selepas itu para hadirin diminta pergi mengambil sumbangan mereka yang merupakan duit dalam sampul surat tidak bernama/beralamat.
Berapakah sumbangan yang diberikan? Hanya RM100-00 setiap seorang.
Setelah menunggu dalam keadaan tidak selesa dan panas sejak pukul 12.30 tengahhari sehingga lebih kurang pukul 4 petang, ( 3 jam setengah), sumbangan yang diberikan adalah hanya RM100 setiap seorang.
Tidak ada air pun dihidangkan. Tidak ada makanan ringan.
Surat daripada Pejabat Daerah dengan pandai tidak menyatakan jumlah sumbangan yang bakal diberikan - di mana jika diketahui bahawa semua susah payah pergi dan tunggu tersebut hanya untuk RM100, saya percaya ramai tidak akan membuang masa untuk kegiatan Barisan Nasional-pimpinan UMNO.
Mereka ini adalah Warga Mas, 65 tahun ke atas. Surat jelas menyatakan bahawa mereka perlu hadhir sendiri, dan tidak boleh menghantar wakil. Mengapa? Yang terlalu uzur tidak mungkin pergi ... yang tidak ada orang menghantar pada petang hari kerja tidak mungkin pergi - dan mereka tidak akan menerima sumbangan kerajaan ini.
Sememangnya ADUN dan MP Barisan Nasional (dan kerajaan BN) serta pihak Pejabat Daerah Temerloh tidak ada perasaan hormat untuk warga mas ini. Tidak ada perikemanusian.
Mengapa perlu hadhir sendiri? Tidakkah lebih mudah menyertakan cek/wang pos bernilai RM100 sahaja bersama surat yang telah dialamatkan kepada warga mas berkenaan.Ini semestinya akan menjimatkan wang dan masa.
YB-YB BN juga menunjukkan sikap tidak hormat apabila hadhir, di maklumkan, hanya pada jam 3 petang. Meminta para hadhirin menghadirkan diri lebih kurang 30 minit sebelum acara resmi adalah wajar, tetapi pada hari ini warga mas Temerloh diminta menghadhirkan diri 2 jam sebelum acara resmi dimulakan...sungguh tidak hormat pada mereka yang tua (dan sakit).
Mengapa perlu hadhir? Satu sebab, yang saya boleh fikirkan, adalah untuk memberikan peluang kepada YB-YB BN berucap dalam dewan penuh sesak dengan warga mas. Jikapun, acara resmi bermula pada 3 petang, sekurangnyanya YB-YB boleh hadhir bermesra dengan warga mas mulai jam 1 petang.
Adakah ini makna 'bersama rakyat'?
Ada Warga Mas yang merasa sungguh marah dengan tindakan Barisan Nasional ini...yang bukan sahaja membuang masa, menyusahkan tetapi juga adalah satu 'penderaan' pada satu hari yang sangat panas di Temerloh, di mana air minum pun tidak dibekalkan?
Ada juga warga mas di Temerloh (pengundi berdaftar) yang ingin mengetahui mengapa mereka tidak menerima surat undangan atau sumbangan kerajaan ini?
Lain kali, khususnya untuk warga mas, hantarlah sahaja hadiah(atau sumbangan) melalui pos. Hantarkan cek (atau lebih baik wang pos) atas nama warga mas berkenaan untuk memastikan mereka mkendapatkannya. Hormatilah warga mas kami. Hormati rakyat...Pentingkan rakyat...
ADUN dan MP Barisan Nasional harus meminta maaf kepada warga mas ini. Kesusahan yang dialami untuk menerima wang rakyat RM100 tidak boleh dijustifikasikan.
Saya pun sangat marah dengan tindakan kerajaan BN ini...yang langsung tidak menghormati rakyat warga Mas Temerloh ini.