KENYATAAN MEDIA
23 OKTOBER 2015
ANGKATAN BAHAMAN MENYERU PRASARANA DI TAMAN SUKAN EKSTREM (SKATEPARK) TEMERLOH DIPERBAIKI DAN DINAIKTARAF.
Banjir 2014 hampir setahun berlalu. Dan dalam tempoh hampir setahun
ini, pelbagai keluhan para pemain papan seluncur (skaters) dan peminat
sukan ekstrem yang lain seperti pemain basikal BMX (BMX riders) dapat
dilihat dalam ruangan laman sosial Facebook khususnya mengenai keadaan
prasarana di taman sukan ekstrem Temerloh yang masih belum dibaik pulih
dengan kadar yang memuaskan sehingga kini.
Malah, kontroversi
mengenai kemudahan infrastruktur di taman sukan ekstrem ini sudah lama
kedengaran, usai taman ini dibuka oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
pada tahun 2003 dahulu lagi, namun atas faktor tidak mendapat saluran
yang tepat bagi pengetahuan pihak atasan, keluhan para pemain papan
seluncur ini kemudiannya hanya berlegar di laman sosial Facebook sahaja.
Mujurlah sebelum ini, terdapat di dalam kalangan pemimpin
tempatan tertentu yang cakna terhadap masalah yang membabitkan taman
sukan ekstrem ini, berkebetulan pula pemimpin tempatan tertentu ini
mempunyai suara atau akses yang boleh menyalurkan maklumat mengenai
permasalahan taman sukan ekstrem ini kepada peringkat pihak atasan PBT
sementelah para pemain papan seluncur ini tidak mendapat peluang untuk
menyuarakan masalah ini kepada saluran di peringkat atasan PBT.
Namun kemudian, sikap PBT yang tidak mengamalkan pemantauan dan
penjagaan berkala terhadap taman sukan ekstrem ini akhirnya menyebabkan
kemudahan prasarana di taman ini tidak dapat jua diselenggarakan dengan
baik.
Malah, penukaran pemimpin di peringkat atasan di peringkat
PBT akhirnya menimbulkan kembali kerumitan ini dan masalah terlalu
banyak karenah birokrasi dan 'main politik' pihak atasan PBT kemudiannya
memangsakan taman sukan ekstrem Temerloh ini sendiri. Seolah tampak
taman sukan ekstrem Temerloh ini dijadikan modal politik bagi pihak
tertentu pula.
Masalah membabitkan prasarana di taman sukan
ekstrem Temerloh ini pada umumnya makin parah selepas dilanda bah pada
hujung tahun 2014 yang lalu. Bah yang luar biasa melanda bandar Temerloh
pada waktu itu telah menyebabkan banyak infrastruktur di taman sukan
ekstrem Temerloh ini mengalami kerosakan yang agak teruk seperti lantai
yang semakin merekah, lampu limpah yang tidak cukup berfungsi di waktu
malam, kemudahan tandas awam yang langsung tidak boleh digunakan lagi,
dan pelbagai permasalahan besar yang lain menimpa disini.
Mengambil contoh lampu limpah yang sebelum ini telah diberi peruntukan
RM30 000 (kemudian kedengaran pula peruntukan ini terpaksa ditambah
akibat 'over cost' daripada peruntukan awal) bagi pemasangan 9 buah
lampu limpah di sini, kini hanya 5 buah lampu limpah sahaja yang dapat
berfungsi dengan baik pada waktu malam, manakala baki 4 buah lampu
limpah yang lain terus rosak tanpa dibaiki oleh pihak yang
bertanggungjawab. Keadaan seperti ini kemudiannya menyulitkan para
pemain papan seluncur yang lain umumnya.
Keadaan lebih parah
apabila prasarana yang amat penting bagi seorang pemain papan luncur
seperti 'mini ramp' atau 'half pipe' langsung tidak boleh digunakan lagi
disini akibat mengalami masalah penyelenggaraan yang sudah begitu
teruk. Itu belum lagi mengambil kira masalah reka bentuk 'skatepark'
yang sudah ketinggalan zaman, tidak mengikut piawaian biasa di
'skatepark' di tempat atau daerah lain yang lebih maju dan mengalami
kerosakan pula di sana sini akibat tidak diselenggaran dengan baik.
Sewajarnya PBT menyedari akan peri pentingnya asas dalam menyediakan
reka bentuk 'skatepark' yang mengikut ciri piawaian yang sesuai
memandangkan ciri-ciri keselamatan amat perlu diutamakan bagi
mengelakkan bahaya untuk para pengguna yang menyertai aktiviti sukan
lasak supaya mereka tidak mendapat sebarang kecederaan yang serius
sepanjang beraksi disini.
Malah piawaian yang lain untuk taman
sukan ekstrem Temerloh ini seperti piawaian terhadap kebersihan,
piawaian terhadap mesra alam sekitar, dan lain-lain piawaian yang
'standard' seperti di gelanggang sukan ekstrem yang lain perlulah
dititikberatkan oleh PBT.
Ini memandangkan Temerloh yang sudah
gah dengan julukan 'Titik Tengah Semenanjung', kemudian dengan status
bandar kedua terbesar di Pahang selepas Kuantan, dan dengan segala macam
pencapaian ini, Temerloh kini seharusnya mempunyai sebuah taman
gelanggang sukan ekstrem yang ulung dan bukan hanya sekadar setaraf
taman sukan ektrem di peringkat majlis daerah sahaja.
Dalam erti
kata lain, selain daripada tugas penyelenggaran yang rapi dan berkala
akibat struktur pembinaan taman sukan ekstrem ini yang mudah rosak atas
faktor kekerapan penggunaan, faktor cuaca, dan lain-lain, PBT juga
mestilah menaiktaraf (upgrade) taman sukan ekstrem di Temerloh ini untuk
kemudahan para pemain papan seluncur khususnya.
Keadaan ini amat
penting bagi bandar Temerloh yang telah melahirkan beberapa pemain
papan seluncur yang handal, malah ada dalam kalangan mereka yang 'otai'
kini sudah bertaraf lagenda, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah
di peringkat antarabangsa.
1) AHMAD SABRI BIN LOKMAN,
2) HASSANAL BOLKIAH BIN HASSAN BASRI,
2) HASSANAL BOLKIAH BIN HASSAN BASRI,
KOORDINATOR SUKAN
PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN.