Friday, October 30, 2015

ANGKATAN BAHAMAN MENYERU PRASARANA DI TAMAN SUKAN EKSTREM (SKATEPARK) TEMERLOH DIPERBAIKI DAN DINAIKTARAF.

KENYATAAN MEDIA

23 OKTOBER 2015

ANGKATAN BAHAMAN MENYERU PRASARANA DI TAMAN SUKAN EKSTREM (SKATEPARK) TEMERLOH DIPERBAIKI DAN DINAIKTARAF.

Banjir 2014 hampir setahun berlalu. Dan dalam tempoh hampir setahun ini, pelbagai keluhan para pemain papan seluncur (skaters) dan peminat sukan ekstrem yang lain seperti pemain basikal BMX (BMX riders) dapat dilihat dalam ruangan laman sosial Facebook khususnya mengenai keadaan prasarana di taman sukan ekstrem Temerloh yang masih belum dibaik pulih dengan kadar yang memuaskan sehingga kini.

Malah, kontroversi mengenai kemudahan infrastruktur di taman sukan ekstrem ini sudah lama kedengaran, usai taman ini dibuka oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun 2003 dahulu lagi, namun atas faktor tidak mendapat saluran yang tepat bagi pengetahuan pihak atasan, keluhan para pemain papan seluncur ini kemudiannya hanya berlegar di laman sosial Facebook sahaja. 

Mujurlah sebelum ini, terdapat di dalam kalangan pemimpin tempatan tertentu yang cakna terhadap masalah yang membabitkan taman sukan ekstrem ini, berkebetulan pula pemimpin tempatan tertentu ini mempunyai suara atau akses yang boleh menyalurkan maklumat mengenai permasalahan taman sukan ekstrem ini kepada peringkat pihak atasan PBT sementelah para pemain papan seluncur ini tidak mendapat peluang untuk menyuarakan masalah ini kepada saluran di peringkat atasan PBT.

Namun kemudian, sikap PBT yang tidak mengamalkan pemantauan dan penjagaan berkala terhadap taman sukan ekstrem ini akhirnya menyebabkan kemudahan prasarana di taman ini tidak dapat jua diselenggarakan dengan baik.

Malah, penukaran pemimpin di peringkat atasan di peringkat PBT akhirnya menimbulkan kembali kerumitan ini dan masalah terlalu banyak karenah birokrasi dan 'main politik' pihak atasan PBT kemudiannya memangsakan taman sukan ekstrem Temerloh ini sendiri. Seolah tampak taman sukan ekstrem Temerloh ini dijadikan modal politik bagi pihak tertentu pula.

Masalah membabitkan prasarana di taman sukan ekstrem Temerloh ini pada umumnya makin parah selepas dilanda bah pada hujung tahun 2014 yang lalu. Bah yang luar biasa melanda bandar Temerloh pada waktu itu telah menyebabkan banyak infrastruktur di taman sukan ekstrem Temerloh ini mengalami kerosakan yang agak teruk seperti lantai yang semakin merekah, lampu limpah yang tidak cukup berfungsi di waktu malam, kemudahan tandas awam yang langsung tidak boleh digunakan lagi, dan pelbagai permasalahan besar yang lain menimpa disini.

Mengambil contoh lampu limpah yang sebelum ini telah diberi peruntukan RM30 000 (kemudian kedengaran pula peruntukan ini terpaksa ditambah akibat 'over cost' daripada peruntukan awal) bagi pemasangan 9 buah lampu limpah di sini, kini hanya 5 buah lampu limpah sahaja yang dapat berfungsi dengan baik pada waktu malam, manakala baki 4 buah lampu limpah yang lain terus rosak tanpa dibaiki oleh pihak yang bertanggungjawab. Keadaan seperti ini kemudiannya menyulitkan para pemain papan seluncur yang lain umumnya.

Keadaan lebih parah apabila prasarana yang amat penting bagi seorang pemain papan luncur seperti 'mini ramp' atau 'half pipe' langsung tidak boleh digunakan lagi disini akibat mengalami masalah penyelenggaraan yang sudah begitu teruk. Itu belum lagi mengambil kira masalah reka bentuk 'skatepark' yang sudah ketinggalan zaman, tidak mengikut piawaian biasa di 'skatepark' di tempat atau daerah lain yang lebih maju dan mengalami kerosakan pula di sana sini akibat tidak diselenggaran dengan baik.

Sewajarnya PBT menyedari akan peri pentingnya asas dalam menyediakan reka bentuk 'skatepark' yang mengikut ciri piawaian yang sesuai memandangkan ciri-ciri keselamatan amat perlu diutamakan bagi mengelakkan bahaya untuk para pengguna yang menyertai aktiviti sukan lasak supaya mereka tidak mendapat sebarang kecederaan yang serius sepanjang beraksi disini. 

Malah piawaian yang lain untuk taman sukan ekstrem Temerloh ini seperti piawaian terhadap kebersihan, piawaian terhadap mesra alam sekitar, dan lain-lain piawaian yang 'standard' seperti di gelanggang sukan ekstrem yang lain perlulah dititikberatkan oleh PBT.

Ini memandangkan Temerloh yang sudah gah dengan julukan 'Titik Tengah Semenanjung', kemudian dengan status bandar kedua terbesar di Pahang selepas Kuantan, dan dengan segala macam pencapaian ini, Temerloh kini seharusnya mempunyai sebuah taman gelanggang sukan ekstrem yang ulung dan bukan hanya sekadar setaraf taman sukan ektrem di peringkat majlis daerah sahaja.

Dalam erti kata lain, selain daripada tugas penyelenggaran yang rapi dan berkala akibat struktur pembinaan taman sukan ekstrem ini yang mudah rosak atas faktor kekerapan penggunaan, faktor cuaca, dan lain-lain, PBT juga mestilah menaiktaraf (upgrade) taman sukan ekstrem di Temerloh ini untuk kemudahan para pemain papan seluncur khususnya.

Keadaan ini amat penting bagi bandar Temerloh yang telah melahirkan beberapa pemain papan seluncur yang handal, malah ada dalam kalangan mereka yang 'otai' kini sudah bertaraf lagenda, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di peringkat antarabangsa.

1) AHMAD SABRI BIN LOKMAN,
2) HASSANAL BOLKIAH BIN HASSAN BASRI,
 
KOORDINATOR SUKAN 
PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN.


No comments: