Thursday, May 1, 2008
Gajah - PUSAT KONSERVASI GAJAH KEBANGSAAN KUALA GANDAH, PAHANG
PUSAT KONSERVASI GAJAH KEBANGSAAN KUALA GANDAH, PAHANG
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah telah ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada tahun 1989. Pusat ini merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang telah wujud sejak tahun 1974.
Unit Gajah merupakan satu pasukan yang unik di Malaysia di mana peranan utama unit ini adalah untuk menempatkan semula gajah-gajah liar yang habitatnya telah diambil alih oleh kawasan pertanian. Gajah liar ini akan ditempatkan semula ke kawasan-kawasan perlindungan seperti Taman Negara. Sejak 30 tahun yang lalu, pasukan yang dahulunya terdiri daripada 25 orang ahli telah berjaya memindahkan lebih daripada 450 ekor gajah liar di mana proses pemindahan ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan yang berterusan.
Selain daripada berfungsi sebagai ibu pejabat untuk unit gajah, pusat ini juga merupakan tempat perlindungan bagi beberapa ekor gajah denak dan liar. Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di Malaysia. Selain itu, pusat pemuliharaan ini menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula dan konservasi gajah.
Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari tentang proses pemindahan semula gajah liar yang dilakukan pada 1996 dengan kerjasama krew National Geographic. Selain itu, program khas boleh disediakan untuk rombongan sekolah. Untuk program pelawat, sila merujuk kepada “Jadual Aktiviti Pelawat” di bahagian selanjutnya.
Gajah di Pusat Pemuliharaan
Pusat ini mempunyai beberapa ekor gajah tempatan yang dibawa masuk daripada Thailand dan Myanmar. Gajah-gajah ini dilatih dan digunakan untuk memindahkan gajah-gajah liar dari kawasan-kawasan yang bermasalah di seluruh Semenanjung Malaysia. Pusat ini juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya untuk memastikan anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya terus hidup.
Gajah Asia
Gajah Asia kini dikategorikan sebagai spesies yang kian terancam dengan anggaran yang kurang daripada 1,200 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia.
Melindungi gajah Asia secara langsungnya membantu melindungi ribuan jenis spesies lain yang terdapat dalam lingkungan habitat gajah tersebut. Gajah membuka denai-denai dan menumbangkan pohon-pohon yang menjadi sumber makanan semula jadi yang sangat diperlukan untuk haiwan yang lebih kecil umpama jentolak semula jadi, serta menyebarkan biji-bijian di dalam najisnya. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kekurangan habitat, gajah kini terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir hutan yang telah bertukar rupa menjadi kawasan perladangan dan penempatan manusia. Pencerobohan ini menyebabkan kerugian pihak terbabit.
Jika gajah tersebut tidak dipindahkan dengan segera, mereka mungkin akan mati sama ada ditembak atau diracun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Jadual Aktiviti Pelawat
Pelawat digalakkan menyertai aktiviti yang akan bermula pada pukul 2.00 petang.
Masa
Aktiviti
2.15 petang
MENUNGGANG GAJAH:
Pelawat berpeluang menunggang gajah disekitar pusat ini.
2.30 petang
MANDI GAJAH:
Pelawat boleh berenang dan mandi bersama gajah di sungai di bawah pengawasan petugas.
3.30 petang
MEMBERI MAKANAN:
Pelawat boleh membantu memberi makanan kepada gajah seperti pisang, betik dll.
3.45 petang
VIDEO:
Pelawat digalakkan menonton dokumentari mengenai proses pemindahan semula gajah liar.
Ke Kuala Gandah
Sebelum mengunjungi pusat ini, anda digalakkan menelefon pihak kami untuk memudahkan urusan lawatan dan mengetahui sama ada pusat kami boleh menampung lawatan anda terutamanya jika anda disertai oleh rombongan yang besar.
Sila bawa pakaian persalinan jika anda ingin mengambil bahagian dalam aktiviti bersama gajah seperti berenang dan mandi bersama gajah di dalam sungai.
Kami amat mengalu-alukan kedatangan anda semua. Semoga anda semua ceria dan gembira di atas kunjungan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
Sokongan dan Sumbangan Anda Diperlukan
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dibiayai oleh Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia. Berbagai usaha dijalankan secara berterusan untuk mempertingkatkan kemudahan sedia ada samaada untuk penyelidikan dan pembangunan atau untuk pelawat ke pusat ini. Jabatan PERHILITAN berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan pusat ini sebagai pusat latihan dan konservasi gajah yang terkenal di rantau ini. Apa jua jenis bantuan dan sokongan amat dihargai.
Anda boleh membuat pertanyaan tentang bagaimana anda boleh membantu dan membuat sumbangan secara langsung dengan kakitangan pusat. Jabatan PERHILITAN telah menubuhkan Tabung Amanah Gajah bagi membolehkan sumbangan ditabungkan. Segala pertanyaan boleh dimajukan kepada kakitangan pusat atau diposkan kepada :
Ketua
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah
Jabatan PERHILITAN
Kuala Gandah, 28500 Lanchang
Pahang Darul Makmur, Malaysia
Tel: 09-279 0391
Faks: 03-279 0398
Waktu Pejabat:
Hari Masa
Isnin – Ahad 8.00 pagi - 1.00 tengahari
2.30 petang - 4.30 petang
Jumaat 8.00 pagi - 12.30 tengahari
2.30 petang - 4.30 petang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Tidak ada bayaran masuk ke santuari gajah dan menunggang gajah?
Post a Comment