Thursday, May 1, 2008

Seladang - Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, Pahang

Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, Pahang


Pusat konservasi ini ditubuhkan dalam tahun 1976 dan menjalankan pembiakan spesies Seladang (Bos gaurus hubbacki) yang terbesar di Semenanjung Malaysia.

Dua buah lagi pusat konservasi spesies ini ialah di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak dan Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang, Kelantan. Kemusnahan habitat semula jadi akibat pembukaan beberapa kawasan hutan di Semenanjung Malaysia untuk pembangunan dan pertanian serta pemburuan haram merupakan antara faktor yang mengancam populasi.

Dari tahun 1982 hingga tahun 2004 Jabatan telah menangkap empat ekor Seladang jantan dan dua ekor Seladang betina dari habitat liar sebagai perintis program pembiakan spesies ini. Keenam-enam ekor Seladang ini diperolehi melalui operasi tangkapan baka Seladang yang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia bagi menangkap Seladang-seladang yang terancam akibat pembukaan kawasan hutan yang tidak terurus.

Kelahiran pertama anak Seladang dalam kurungan pada 12hb April 1985 menandakan kejayaan bagi program konservasi spesies hidupan liar ini. Dari tahun ke setahun, bilangan ini bertambah dan pertambahan bilangan spesies ini menarik perhatian masyarakat untuk melihat hidupan liar ini dengan lebih dekat lagi. Sehingga kini, bilangan Seladang ialah 33 ekor kesemuanya. Seladang-seladang ini dipelihara secara berkumpulan termasuk ibu dan anak, berpasangan atau individu mengikut keperluan.

Selain itu, Jabatan PERHILITAN juga telah mengadakan program kerjasama dengan pihak MARDI dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (Aplikasi Bioteknologi di dalam Konservasi dan Pembiakan Hidupan Liar yang Bernilai Komersil) pada 3 Oktober 2005. Di mana, ia melibatkan program pembiakan spesies Seladang di Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak, Pahang. Ini secara langsung akan menumpu kepada penambahan bilangan Seladang di dalam kurungan dengan kaedah-kaedah aplikasi pembiakan biotek terkini.

1 comment:

Nurul Husna Mohd Hassan said...

nanti nak datang melawat seladang ni :)