Thursday, May 21, 2009

TEMERLOH - tempat lahirnya Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) - 21-5-1949

Kadang-kadang kita lupa...

Atau kadang-kadang ada mereka yang sengaja menyembunyikan kebenaran...

Antara perkara yang telah disembunyikan daripada pengetahuan umum rakyat Malaysia adalah:-
- Sejarah perjuangan rakyat Malaysia sepenuhnya menentang pihak British untuk mencapai kemerdekaan
- Perjuangan rakyat Malaysia sepenuhnya menentang Jepun untuk mencapai kemerdekaan
- Kemerdekaan...dan pemulaan pentadbiran kerajaan Malaysia selepas Jepun ditewaskan
- Pengambilan semula kuasa oleh pihak British...perjuangan kemerdekaan sepenuhnya seterusnya...


Mengapakah kebenaran tidak didedahkan selepas kemerdekaan Malaya pada 31/8/1957? Adakah kerana kebenaran adalah tidak baik untuk UMNO?

TEMERLOH - adalah tempat lahirnya Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM)... Rejimen Ke-10 didirikan di Kerdau, Temerloh, Pahang pada 21 Mei 1949.

Baru-baru ini saya berjumpa blog Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam, yang dikendalikan oleh Mat Amin, seorang yang dikatakan adalah bekas perajurit Rejimen Ke-10, menyertai perjuangan bersenjata selama hampir 20 tahun, berasal dari keluarga tani miskin.

Mengenang kelahiran Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya pada 21 Mei 1949)


(gambar: perarakan tentera yang diadakan di Rejimen Ke-10 TPNM)

Hari ini ialah ulang tahun ke-60 berdirinya Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Pada hari yang bersejarah ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT senantiasa melindungi para pahlawan serta pejuang bangsa dan tanah air kita yang sudah lanjut usia.

Kami juga mengajak semua mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh putera-puteri terbaik tanah air yang telah pergi demi perjuangan kemerdekaan ibu pertiwi – Alfatihah!

Rejimen Ke-10 didirikan di Kerdau, Temerloh, Pahang pada 21 Mei 1949.

Abdullah C.D., pengasas Rejimen Ke-10 telah menulis, antara lain, begini: “Rejimen Ke-10 adalah sebuah tentera anak rakyat yang dari komander hingga ke perajuritnya terdiri dari putera-puteri terpuji bangsa Melayu yang berteraskan anggota PKM, PKMM, PETA, BTM dan lain-lain yang telah diharamkan oleh penjajah British.”


(gambar: Abdullah C.D., dirakam pada tahun 1989)


Sebelum itu, kecuali United Malays National Organisation (UMNO), badan-badan lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Pembela Tanah Air (PETA), Barisan Tani Malaya (BTM) dan sebagainya adalah pertubuhan politik Melayu yang berjuang atas hasrat murni untuk memerdekakan Malaya dan melepaskannya daripada belenggu British.

Dan, apabila kesemuanya (kecuali UMNO) diharamkan pada Jun 1948 di bawah apa yang dinamakan ‘Undang-Undang Darurat’, pertubuhan-pertubuhan tersebut terpaksa mengambil jalan perjuangan bersenjata yang bermandi darah.

Justeru itu, Rejimen Ke-10 yang pada mulanya terdiri daripada 17 orang telah berkembang dan mendewasa dengan cepat dalam kancah perang rakyat melawan British – sehinggalah ia menjadi satu-satunya pasukan gerila Melayu anti-British yang bukan saja digeruni tetapi dihormati oleh pihak lawan.

Dalam tempoh 40 tahun, tidak sedikit para pemimpin dan perajurit Rejimen Ke-10 telah menjadi mangsa tangkapan, penjara, buang negeri bahkan hukuman gantung sampai mati.

Antara mereka yang telah mengharumkan nama termasuklah: Kamarulzaman Teh, Mat Amin, Mat Indera, Shamsiah Fakeh, Manap, Cikgu Taha, Mat Kerinau, Maimun, Asiah, Johan (dari Indonesia), Hidzir, Ali Boyok, Yasin, Jidin, Alias, Bakri, Zahura dan ramai lagi.

Mengikut catatan Abdullah C.D., seorang bernama Manan (Adnan) dari Kajang merupakan “kawan Melayu pertama yang dihukum gantung, bahkan yang pertama digantung semasa darurat. Lepas beliau digantung, kawan-kawan yang lain juga turut digantung. Kadang-kadang 3 orang, kadang-kadang 6 orang sehari”.

Begitulah harga yang terpaksa dibayar – dengan darah dan nyawa – oleh putera-puteri terbaik kita demi kemerdekaan tanah air!



(Gambar: Anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 bersama Chen Ping. Dari kiri: Suriani Abdullah, Rashid Maidin (Allahyarham), Abdullah C.D.,Chen Ping, Abu Samah Mohd. Kassim (Allahyarham), Ibrahim Chik dan Abdullah Sudin (Allahyarham). – dirakam pada tahun 1989)

Di sini, timbul beberapa pertanyaan: Apakah sumbangan Rejimen Ke-10 dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Malaya? Mengapakah fakta-fakta tentang Rejimen Ke-10 tidak terdapat dalam buku-buku teks sejarah? Apakah penulisan sejarah negara kita telah diputarbelitkan? Siapa yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan sejarah ini, dan mengapa?

Justeru itu, bersempena hari yang bersejarah ini, kami ingin menyeru kepada semua pihak yang prihatin terhadap kebenaran sejarah supaya memikirkan masalah ini.

Terima kasih!
Jelas sekali saya juga lupa tentang sejarah...(bukan lupa tetapi tetapi dikelirukan...). - tetapi saya ada keinginan mengetahui kebenaran.

Saya berharap kerajaan BN, pimpinan UMNO, mengubah pendirian dan membenarkan ramai daripada pejuang kemerdekaan lampau yang kini masih tidak dibenarkan kembali ke tanah air. Kita mungkin tidak bersetuju dengan idealogi perjuangan atau cara perjuangan mereka, tetapi ianya adalah sungguh tidak wajar untuk masih tidak membenarkan mereka itu kembali ke tanah air.

Saya berharap buku-buku sejarah ditulis semula untuk memberikan gambaran sepenuh sejarah Malaysia...




2 comments:

denai semantan said...

Umno/bn boleh memperbodohkan rakyat tetapi tak boleh memesongkan fakta sejarah yang telah berlalu. Semoga generasi muda kini tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah jahat politik umno/apco

Johan bin Ramli said...

Nasib baik le ada UMNO...kalu tak hancur le macam kemboja, dan vietnam asyik berperang aje....elok le.. tak ada pula aku dengar kita kena bayar ufti kat britain ye...ada ke..elok le denai di semantan jalannya dah lebor ye...guano demo jalan kaki ke naik motorkar....masih guna guni untuk seluar ke atau doh bulehgaya dengan jean ye...