Wednesday, July 6, 2011

Pergerakan rakyat -lwn- Najib dan kerajaan BN - Najib ada kuasa menyelesaikannya

Kerajaan  BN pimpinan Najib telah melakukan kesilapan besar apabila bertindak menentang pergerakkan rakyat Malaysia yang prihatin dan yang mahukan sistem pilihanraya di Malaysia menjadi lebih 'bebas dan adil" (free and fair election) di mana pergerakkan ini digelar "BERSIH 2.0"

Pergerakkan rakyat ini nyata bukan sesuatu yang dipimpin atau dimulakan oleh pihak pembangkang - tetapi oleh masyarakat umum, yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan masyarakat awam(civil society), NGO - di mana pihak yang menyeleraskan program (bukan memimpin) adalah bukan sama sekali mereka daripada parti politik pencabar kuasa politik UMNO dan parti-parti BN yang lain.

Isu yang dibawa mereka nyata bukan satu isu  'sensitif', berunsur perkauman atau agama tetapi sesuatu isu am dan berprinsip, iaitu hasrat bahawa sistem pilihanraya di Malaysia harus di jadikan lebih baik dan lebih adil - di mana ini adalah isu yang seharusnya Najib dan BN juga menyokong. Malangnya, respon BN telah menimbulkan tanda tanya di dalam minda mereka yang sebelum ini tidak mengambil pendirian. Mengapa kerajaan BN membantah tuntutan ini? Mungkinkah apa yang yang diperjuangkan oleh kumpulan rakyat ini benar, di mana sistem pilihanraya di Malaysia sememangnya kurang adil - adakah BN yang sekarang memerintah akan memerintah jika sistem pemilihan adalah adil. Keengganan pihak BN menerima pendapat pejuang pilihanraya bebas dan adil telah secara langsung atau tidak langsung mengugat kedudukkan Najib dan BN sendiri - kerana ramai sudah mula memikirkan bahawa hakihat mereka masih memerintah - bukan lagi kerana mereka mempunyai sokongan majorii - tetapi kerana mereka telah memanipulasikan sistem pilihan untuk memastikan kemenangan terus BN di Malaysia.

Adakah jika semua rakyat boleh memilih terus siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia, saudara Naib akan dipilih? Kemungkinan besar tidak..

Apabila kita melihat berita TV, radio dan suratkhabar utama, kita melihat bahawa Najib dan BN senang sekali boleh mengadakan perhimpunan besar-besar dengan rakyat - tetapi pihak lain, saperti parti pembangkang atau NGO atau kumpulan rakyat tidak boleh berbuat demikian.

Nyata BERSIH 2.0 mempunyai sokongan ramai - dan (A) hasrat utama mereka adalah supaya pendapat mereka didengar semua dan dipertimbangkan, (B) bahawa rakyat Malaysia sedar bahawa pendapat ini bukan pendapat beberapa orang sahaja tetapi pendapat ramai penduduk Malaysia, ... di mana satu cara cara bagaiman mencapai hasrat (B) adalah dengan perhimpunan besar-besaran yang aman yang secara jelas akan membuktikan ini. Kalau tidak, pihak Najib dan BN akan dengan senang menyatakan bahawa ini hanya pendapat segelintir sahaja - bukan pendapat disokong ramai di Malaysia.

Mereka yang memanggil kempen ini "BERSIH 2.0", pada mulanya mahu mengadakan perarakkan rakyat daripada Kuala Lumpur berjalan secara aman terus ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agung.

Ingin dinyatakan bahawa hak berhimpun secara aman adalah satu hak asasi yang diiktiraf, juga terkandung di dalam perlembagaan Malaysia. Malangnya, kini wujud satu undang-undang yang menyatakan bahawa hak ini memerlukan kebenaran pihak polis, di mana undang-undang ini harus segera dimansuhkan. Hak asasi seharusnya tidak dibelenggu dengan syarat perlu mendapatkan kebenaran pihak polis. Kehendak  bahawa niat mengadakan perhimpunan awam dimaklumkan kepada pihak polis mungkin adalah wajar - tetapi bukan untuk mendapatkan kebenaran polis. Setelah dimaklumkan, polis boleh memastikan hak ini dilaksanakan dengan memastikan tidak ada yang mengacau mereka yang mahu melaksanakan hak ini, memastikan perjalanan perarakkan ini dilakukan dengan teratur - mungkin dengan memastikan semua berjalan di tepi jalan (atau mungkin lorong tepi jalan), mungkin dengan menutup jalan beberapa minit membenarkan perarakkan berlalu, ... (Semua ini biasa dilakukan untuk perarakan kebumian, juga perarakan agama, juga acara sukan, juga perarakkan 'merdeka', juga apabila ada mesyurat besar-besaran diadakan... dan bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh pihak polis)

Malangnya, di dalam keadaan ini, polis (atau sebenarnya Najib dan kerajaan BN) tidak mahu berbuat demikian - dan halangan demi halangan diletak untuk menghalang perhimpunan aman ini dan perararakan aman ini untuk pergi berjumpa Yang Di Pertuan Agung.

Kini "BERSIH 2.0" telah diharamkan sejak 1/7/2011, ramai yang berkempen untuk mendapatkan sokongan untuk pilihanraya bebas dan adil serta acara yang dicadangkan telah ditangkap dan ditahan dan juga dituduh di Mahkamah, 6 juga telah ditahan di bawah undang-undang tanpa bicara saperti ISA, media massa digunakan untuk memburukkan nama dan tujuan pergerakkan ini serta juga menakutkan orang ramai supaya tidak memberi sokongan kerpada kausa ini,...

Yang Di Pertuan Agung telah baru-baru ini menyatakan kerisauan mengenai perhimpunan dijalan, di mana setelah mengadap dihadapan Yang Di Pertuan Agung, pihak BERSIH berkompromi besar dan bersetuju untuk tidak mengadakan perhimpunan jalanan dan menerima cadangan Najib untuk mengadakannya di Stadium. Najib kata boleh asalkan aktiviti ini dijalankan secara aman.

TETAPI selepas itu keluarlah syarat-syarat baru dan halangan tambahan - 
(1)  kena mendapat kebenaran polis, 
(2)  BERSIH 2.0 masih diharamkan
(3) Stadium di Kuala Lumpur tidak mahu diberikan oleh pihak pentadbiran Stadium (kononnya);
(4) Penahanan dan pertuduhan mereka yang dikatakan terlibat dengan BERSIH masih berterusan,
(5) Media massa masih digunakan untuk memburukkan BERSIH

Nampaknya perutusan dan niat Yang Di Pertuan Agung langsung tidak dihormati oleh Najib dan kerajaan BN..

Nampaknya, BERSIH yang sudah berkompromi besar menyahut kehendak Yang Di Pertuan Agung telah kini 'tertipu' oleh Najib dan kerajaan BN.

Acara cadangan sepatutnya diadakan pada 9/7/2011 - Apa yang akan berlaku kita tidak tahu lagi? Harap semua berjalan secara aman tanpa kekerasan dan penindasan..

Saya tidak tahu apakah niat sebenarnya Najib dan kerajaan BN - adakah niat mereka sengaja mahu menyebabkan kekacauan? Sungguh senang kini, untuk membukan Stadium Merdeka dan membenarkan penyokong gerakan mahukan pilihanraya bersih dan adil berhimpun di sana  beberapa jam - selepas itu membenarkan satu delegasi kecil (mungkin 25 - 40 orang) pergi ke Istana menghantar memorandum. 

Masalah kini adalah kemungkinan besar berpuluhan ribu, yang sudah lama membuat perancangan (beli tiket, dsb...) sudah mula bergerak ke Kuala Lumpur untuk acara ini tetapi Najib (dan kerajaan pimpinannya) menyebabkan keadaan tidak pasti dan kelam kabut, ...

Kepastian diperlukan sekarang - kalau tidak saya risau. Najib harus segera membenarkan Stadium Merdeka digunakan...

Segera membebaskan mereka yang ditahan - segera menarik balik tuduhahan Mahkamah ... segera menurut niat Yang Di Pertuan Agung..

Jangan terus menaikkan kemarahan rakyat Malaysia...Hak asasi rakyat berhimpun secara aman - dan seterusnya hak rakyat menghantar memorandum kepada Yang Di Pertuan Agung harus bukan sahaja diiktifaf tetapi dihormati.

Buktikan bahawa slogan BN "Rakyat di utamakan..." bukan hanya slogan tetapi adalah benar-benar prinsip dan pendirian Najib dan kerajaan BN. 









No comments: