Sunday, March 13, 2011

Jangan biarkan kilang proses tanah jarang di Kuantan bermula operasi..

Kerajaan Trengganu menolak cadangan kerana memikirkan keselamatan rakyat - tetapi Kerajaan BN Pahang bersetuju...

Jaminan keselamatan tidak memadai - apa yang kita mahu adalah supaya kilang tersebut tidak bermula beroperasi - dan ditutup terus. Apa gunanya jaminan selepas bencana berlaku...dan kesihatan rakyat terjejas. Saya berharap, Fauziah, MP PKR, berpendirian tegas supaya kilang ini ditutup terus - dan bukan hanya puas hati dengan jaminan keselamatan sahaja.

Menurut lapuran Malaysiakini, beliau tahu mengenai perkara ini sejak 2 tahun yang lalu - mengapa pula kempen secara besar-besaran dilancarkan menentang projek ini. Kita, di Malaysia, sudah pernah menjadi mangsa, iaitu kilang ARE di Bukit Merah, di mana perjuangan dan kempen rakyat akhirnya berjaya menutup kilang tersebut pada 1994 - tetapi mereka yang sudah menjadi mangsa kanser...atau yang melahirkan bayi cacat tidak akan dapat dipampas dengan apa cara pun. 

Sila ke blog saya untuk mendapatkan maklumat lebih - terutama mengenai perjuangan rakyat Bukit Merah yang akhirnya berjaya menutup kilang in pada tahun 1994...Ambil perhatian juga surat S.M. Idris yang mendedahkan bahawa kerajaan Trengganu telah menolak projek ini...sila lihat:While Trengganu said 'No' - Pahang agreed to allow a dangerous rare earth plant in Najib's home state


Tapak Lynas: Kalau selamat mengapa tak diproses di Perth, soal Pemuda PAS

March 10, 2011
 
KUALA LUMPUR, 10 Mac — Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi mempersoalkan langkah kerajaan membina pusat pemprosesan tanah jarang terbesar di dunia — di Gebeng dekat Kuantan, yang dikhuatiri boleh mengundang risiko kesihatan.

Kata beliau, pusat tersebut yang bernilai RM700 juta dibina oleh sebuah syarikat Australia, Lynas Corp akan menyebabkan penduduk di sekitar daerah Kuantan dan Gebeng terdedah kepada ancaman sisa radioaktif.

Jelas Nasrudin, jika benar ia tidak memberikan sebarang kesan terhadap tahap kesihatan penduduk, mengapa bahas sisa tersebut perlu diproses di negara ini.

“Malangnya Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan mengatakan kesan radiasinya rendah dan selamat.

“Persoalannya, jika proses menapis tanah jarang ini tidak memberi kesan kepada kesihatan penduduk, kenapa ia dilombong di Mount Weld Australia dan tidak sahaja ia diproses di Perth Australia? Kenapa perlu pindahkan ke Gebeng Kuantan melepasi 2,500 kilometer jauh jaraknya,” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pembinaan pusat pemprosesan tanah jarang yang paling besar di dunia dilaporkan beberapa hari lalu oleh The New York Times,  yang memetik beberapa pakar yang melahirkan kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan .

Kata Nasrudin, penduduk sekitar daerah Kuantan dan Gebeng sekali lagi terdedah kepada ancaman sisa radioaktif yang bakal terhasil.

“Saya melihat projek seperti ini sangat mengundang risiko kepada tahap kesihatan masyarakat kita kerana Pusat Industri Gebeng letaknya berhampiran dengan taman perumahan penduduk.

“Sisa buang yang akan tersalur ke sungai akan memberi kesan radioaktif kepada masyarakat. Apakah seluas-luas gurun di Australia tidak mencukupi untuk membina kilang seperti ini jika ia benar-benar didakwa selamat,” katanya.

Menurut beliau, sebuah kilang serupa pernah cuba dibina di Bukit Merah, Perak pada sekitar 1980-an namun mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk seperti kanser, leukemia dan kecacatan.

“Saya difahamkan seorang pengamal perubatan dan ahli toksilogi, Dr Jayabalan A Thambyappa, yang pernah merawat beberapa pesakit di Bukit Merah, beliau sendiri kurang yakin dengan kenyataan itu. Perkataan ‘rendah’ adalah semata-mata persepsi.

“Malah ada yang meninggal dunia... sekarang mereka membinanya pula di Pusat Industri Gebeng, Kuantan Pahang yang letaknya tidak jauh dari kawasan penempatan awam yang besar di daerah Balok, Beserah dan Pelindung,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh berkata beliau kini mahu berganding dengan pencinta alam sekitar dari Australia demi memastikan kepentingan rakyat negara tidak terjejas.

Beliau telah membangkitkan isu tapak pemprosesan tanah jarang di Gebeng, Kuantan itu dua tahun lalu.

Kata Fuziah,  beliau akan bekerjasama dengan rakan-rakan sejawatannya dari Green Party Australia untuk mengenakan tekanan ke atas kerajaan agar melihat secara mendalam kesan ke atas alam sekitar dan kesihatan akibat projek bernilai AS$230 juta itu dan mahu jaminan perlindungan sebelum Lynas Corp memulakan operasinya.- Malaysian Insider, 10/3/2011, Tapak Lynas: Kalau selamat mengapa tak diproses di Perth, soal Pemuda PAS

No comments: