Friday, July 25, 2008

Majlis Perbandaran - Fungsi & Kuasa kerajaan peringkat ketiga

Majlis Perbandaran Temerloh bertindak menjaga segala bentuk kepentingan penduduk di dalam kawasan pentadbirannya. Ini dapat dilihat daripada fungsi Majlis Perbandaran Temerloh iaitu:

a) Merancang pembangunan
b) Mengawal pembangunan
c) Menjaga kebersihan kawasan
d) Menjaga kesihatan orang ramai
e) Mengindahkan bandar
f) Menyediakan kemudahan awam
g) Merancang lalulintas
h) Melesen dan mengawal perniagaan
i) Menguatkuasa undang-undang
j) Menggalakan pelaburan dan pembangunan
k) Memastikan keselesaan penduduk

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lebih di kenali sebagai kerajaan tempatan adalah kerajaan peringkat ketiga dimana kerajaan peringkat pertama adalah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pula merupakan kerajaan peringkat kedua di dalam sistem pentadbiran negara.

PBT adalah satu badan kerajaan yang bersifat autonomi dimana terdapatnya kebebasan di dalam membuat keputusan. Contohnya PBT mengutip hasil kewangan sendiri dan membelanjakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.Di Malaysia terdapat 3 bentuk PBT iaitu :

1. Majlis Daerah
2. Majlis Perbandaran
3. Majlis Bandaraya

PBT mengamalkan konsep perwakilan iaitu dimana wakil dari penduduk setempat duduk di dalam PBT sebagai Ahli Majlis dan membantu membuat dasar melalui kaedah yang telah di tetapkan.

Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mendapat statusnya sekarang pada 15 Januari 1997. Sebelum itu ia bergelar Majlis Daerah Temerloh (MDT) mulai pada tarikh 1 Julai 1981. Waktu itu MDT adalah hasil gabungan 4 majlis tempatan yang wujud di Temerloh iaitu :

1. Majlis Bandaran Temerloh Dan Mentakab
2. Majlis Tempatan Kuala Krau
3. Majlis Tempatan Kerdau
4. Majlis Tempatan Lanchang

Pengabungan ini adalah keputusan kerajaan yang disyorkan oleh Suruhanjaya Athinahappan yang mencadangkan penyusunan semula semua PBT.

Pada ketika pentadbiran MDT, Yang Dipertua adalah disandang oleh Pegawai Daerah Temerloh. Setelah melalui perubahan dan kemajuan, MDT telah memohon kepada kerajaan negeri dan seterusnya kepada Kerajaan Persekutuan untuk dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Temerloh. Permohonan ini adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan seperti hasil melebihi RM 10 juta dan penduduk melebihi 100,000. Maka dengan itu pada 27 Mac 1996 telah meluluskan permohonan naiktaraf kepada MPT dan pada 15 Januari 1997 telah secara rasmi bergelar Majlis Perbandaran Temerloh.


No comments: